SEJARAH

Sejarah Pekan Pahang Darul Makmur

 

Gelaran tua bagi negeri Pahang itu ialah Inderapura, disebut Pahang Inderapura. Bandar Dirajanya yang terkenal sampai sekarang dan ibu negeri Pahang pada zaman dahulu bernama PEKAN. Sebelum negeri Pahang ditakluk oleh Kerajaan Melayu Melaka, orang Hindu-Asli (berbahasa Sanskrit) memanggil ibu negeri Pahang itu Pura. Orang-orang Melayu ada juga menyebutnya Pura (ada tersebut dalam hikayat Sejarah Melayu 1977 : hal 73). Manakala orang melayu yang diam berhampiran dengan Sungai Endau, Sungai Rompin dan Sungai Bebar memanggilnya Pekan Pahang pula. Pada masa ini Bandar Diraja Pahang yang dinamakan Pekan itu ialah daerah-daerah yang di kiri dan kanan Sungai Pahang dan Sungai Pahang Tua hingga ke hulu had Tanjung Langgar. Bandar Pekan itu terbahagi kepada dua bahagian : Pekan Baharu dan Pekan Lama. Di Pekan Lama itulah tempat kediaman raja-raja dan orang-orang besar Pahang.

Pekan Baharu itu pada zaman dahulu kampung Cina namanya, kemudian baru disebut Pekan Baharu. (Buyung Adil, 1972 : hal 2) Bandar Pekan dikatakan wujud semenjak abad ke 17 lagi. Namun demikian, tidak ada tarikh yang pasti tentang penemuan Pekan tetapi ramai penulis samada penulis Barat, Arab atau penulis Cina menyebut dan menceritakan tentang Pekan.

Mengikut pendapat orang-orang tua, Pekan mendapat namanya dari sejenis bunga yang dipanggil Bunga Pekan yang banyak tumbuh menjalar di tebing-tebing Sungai Pahang. Bunganya berwarna putih seperti bunga Melor, namun bakanya kini sudah tiada lagi untuk dikenalkan kepada generasi sekarang dan akan datang. Di Bandar Pekan juga terdapat sebatang sungai yang digelar Sungai Pekan (berhampiran Kampung Mengkasar) tetapi tiada bukti yang menyatakan Pekan mendapat nama dari sungai ini.

 

Daerah Di Pahang Darul Makmur

 

 Sejarah Kampung Beruas

Kampung Beruas dan jugak Kampung Jalan Tegak merupakan Perkampungan Tradisional yang terletak di bawah Pentadbiran Mukim Kuala Pahang. Tidak banyak yang diketahui mengenai asal usul kedua-dua kampung ini, sama ada benar atau sebaliknya cerita ini tiada siapa yang dapat mengesahkannya. Hanya diketahui umum, nama Kampung Beruas ini, diambil sempena nama Pokok Baruas yang dahulunya banyak terdapat di kampung ini. Ianya diberi nama oleh orang-orang mendatang pada suatu masa dahulu.

 

Manakala Kampung Jalan Tegak pula diberi nama setelah penduduk kampung Beruas menebang hutan belukar dan membuat satu jalan lurus (tegak) ke kawasan yang tidak berpenghuni pada ketika itudan kemudiannya dinamakan Kampung Jalan Tegak.

 

Pada ketika itu, pentadbiran kedua-dua kampung tersebut telah di asaskan oleh pengasasnya atau lebih di kenali sebagai Ketua kampung di bawah satu organisasi iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung JKKK.

 

 

 

sumber dari : www.mdpekan.gov.my dan Pejabat Penghulu Mukim Kuala Pahang